Tuesday, May 13

Selamat Hari IBU


" Selamat Hari Ibu untuk diri sendiri" Inilah tahun pertama ibu bergelar ibu tetapi inilah kali pertama untuk ibu tidak mengucapkan selamat hari ibu untuk ibu yang tersayang, kerana Opah Qaira sudah pergi mengadap Ilahi. Ibu redha akan kepergiaannya.

Dua tiga hari sebelum hari ibu, ibu banyak menangis. Ayah mungkin tak nampak dan sedar kerana ibu sering menangis di dalam kereta. Suatu hari Qaira mengamuk dan tak mahu tidur. Ayah pegang pun Qaira tetap menangis, ibu ambil Qaira dan bawa Qaira masuk dalam kereta. Ketika itu air mata ibu tumpah lagi. Tiba-tiba Qaira senyap dan tersenyum dan ketawa. Seolah olah paham perasaan ibu dan ingin ibu ketawa bersama. Ketika itu ibu terlalu rindukan Opah Qaira. Pada malam 10 Mei waktu tu ada AF6, Aisyah telah menyanyikan lagu " syurga di bawah telapak kaki ibu" argh.. tiba tiba ibu sebak. ibu mengalirkan air mata. Ibu tutup mata ibu dengan tuala. ketika tu Qaira sedang menyusu dan ramai orang di sekeliling.

" bercucuran.. air mata.. bila mengenangkan.. betapa besar budi ibunda berikan.."

Setiap kali ibu ingatkan arwah Opah Qaira ibu mesti berasa sebak. Opah Qaira begitu banyak pengorbanannya buat ibu dan keluarga dalam membesarkan dan menyekolahkan ibu sehingga ibu berjaya berada di tahap ini.

Ibu teringat waktu dulu, rumah ibu tidak ada elektrik dan air, Opahlah yang bersusah payah mengangkut air dari sungai. Opah terpaksa mendaki bukit untuk sampai kerumah. tapi ibu hanya tahu membazirkan air sahaja. Masa ibu masih kecil, atok kerja kilang dengan gaji yang amat rendah, untuk menampung keperluaan keluarga opah dan atuk akan menoreh getah se awal jam 3 pagi. Hari sabtu dan Ahad, Atok akan memanjat pokok petai untuk mencari duit tambahan.

Kerana hidup susah, opah pernah menangis bila Kak Saadiah, tukang jahit kat kampung kita mengatakan kain baju kurung yang Opah beli seperti kain langsir, Mak cik Lijah, pernah kata dekat Opah macam ni:

" Saadah indo kan menengok do.. nok lai tv kek umah aa" ( Saadah tak kan tgk, sebab tak ada tv kat rumahnya. masa tu ada cerita macam Tele-match kat TV. waktu bersembang pasal cerita tu la makcik tu sebut. Opah sedih dan beritahu Atok. Atok kumpul duit dan akhirnya dapatlah beli tv hitam putih 14 inci. tapi bukan guna elektrik. guna bateri sebab kat umah ibu tak da letrik.

Bila atuk kena buang kerja sebab kegawatan ekonomi, Opah mula bekerja kat Pasar Tapah. Setiap pagi sewal subuh, opah akan mengayuh basikal ke Pekan Tapah, Opah akan menurunkan ikan dari lori. ketempat jualan. Kuatnya Opah tak sepadan dengan tubuhnya yang kecil.Duit upahnya itulah yang akan di hantar kepada ibu untuk belanja di universiti. Waktu tu atok dapat kerja sebagai jaga.

Macam-macam pengorbanan opah pada ibu dan keluraga. Tak terbalas sampai bila bila. walaupun pemergiannya secara tiba-tiba tetapi ibu redha. Opah pernah berkata pada ibu " kalau aku matipun tak pe, sebab apa yang aku nak aku dah dapat. aku dah ada cucu" Atok pernah kata sebelum Opah meninggal dunia, opah kata " seminitpun aku tak pernah lupa pada Fahim dengan Qaira"

Masa ibu mengandungkan Qaira, Opah selalu kata, panjangkanlah umur aku sampai jue beranak. Memang Allah Maha Besar dan Maha Mengetahui, 2 bulan 1hari umur Qaira, Allah menjemputnya. Ibu dikejutkan dengan panggilan....

" Ju.. balik.. mak dah tak...." rasa gelap dunia ini. Semoga Allah ampunkan dosa Opah Qaira dan tempatkanya bersama orang orang yang beriman.

Selamat hari ibu Mak!! Walaupun ibu tidak cium pipi Opah Qairaseperti selalu, tetapi ketahuilah ibu teramat merindui Opah. Opah Qaira sentiasa dalam hati ibu, walaupun ada yang kata.. " ala.. kau masih ada mak mertua".. Tiada pengantinya Opah dalam hati ibu. Al-Fatihah Untuk Arwah, Ibu akan jaga Qaira seperti yang Opah mahukan. Opah pernah pesan pada Ibu supaya menjaga Qaira baik baik. Ibu akan didik Qaira sepeti Opah mendidik Ibu.

No comments:

Post a Comment

Bercakap-cakaplah di sini sesuka hati dengan kaedah bersopan..

Cerita-Cerita Lama

Blog Rakan